Uji Kendiri 8.1 – Kimia Tingkatan 4 (KSSM) Bab 8


Soalan 1:
Atom di dalam besi tulen disusun secara teratur dan berlapis-lapis.

(a) Apakah kesan susunan atom di dalam besi tulen kepada sifat kemuluran dan boleh tempa logam?

(b) Aloi besi boleh dihasilkan dengan mencampurkan sedikit karbon ke dalam besi lebur.
Bagaimanakah susunan atom di dalam aloi besi mempengaruhi sifat kekerasan aloi?


Jawapan:
(a) Apabila daya dikenakan, lapisan atom menggelongsor di atas satu sama lain. Logam tulen menjadi lembut, iaitu bersifat mulur dan boleh ditempa.

(b) Atom asing (atom karbon) mengganggu susunan teratur atom di dalam logam besi tulen. Lapisan atom sukar bergerak atau menggelongsor di atas satu sama lain. Oleh itu, penambahan karbon mengukuhkan struktur besi dan menjadikan besi lebih kuat dan keras.


Soalan 2:
Ketulenan aloi emas diukur dalam unit karat (K). Emas 24 K merupakan emas tulen tanpa campuran logam lain manakala emas 18 K merupakan campuran yang terdiri daripada 18 bahagian emas dengan 6 bahagian logam lain seperti kuprum mengikut jisim.

(a) Apakah peranan kuprum di dalam emas 18 K?

(b) Hitungkan peratus mengikut jisim komposisi aloi di dalam emas 18 K dengan berat 24 g.


Jawapan:
(a) Menjadikan emas lebih keras dan kukuh.

(b)
$$ \% \text { emas }=\frac{18}{24} \times 100=75 \% $$
$$ \% \text { kuprum }=\frac{6}{24} \times 100=25 \% $$


Soalan 3:
Berikan justifikasi anda kepada pernyataan berikut:

(a) Keluli nirkarat digunakan untuk membuat mesin basuh.

(b) Kabel elektrik berkeupayaan tinggi diperbuat daripada aloi aluminium.

(c) Emas 18 K digunakan untuk membuat cincin.


Jawapan:
(a) Mesin basuh bersentuhan dengan air. Air dan oksigen menyebabkan logam berkarat. Keluli nirkarat tahan terhadap kakisan.

(b) Kabel elektrik digantung pada tiang yang tinggi. Aloi aluminium mempunyai ketumpatan yang rendah.

(c) Emas tulen adalah lembut. Aloi emas bersifat lebih keras dan kukuh.