Polimer Sintetik

  1. Polimer ialah sebatian kimia yang mempunyai molekul berantai panjang yang terdiri daripada unit-unit molekul kecil. Unit-unit molekul kecil ini dipanggil monomer.
  2. Polimer dibahagikan kepada dua jenis, iaitu
    1. polimer semula jadi
    2. polimer sintetik.

Proses Pempolimeran

  1. Pempolimeran ialah satu proses di mana molekul-molekul kecil yang dipanggil monomer dicantum melalui tindak balas kimia bagi menghasilkan molekul besar yang disebut polimer.
  2. Terdapat dua jenis pempolimeran , iaitu
    1. pempolimeran penambahan
    2. pempolimeran kondensasi.

Pempolimeran Penambahan

  1. Pempolimeran penambahan melibatkan proses pencantuman monomer-monomer yang tak tepu seperti etena, vinil klorida, dan sebagainya.
  2. Monomer-monomer tak tepu boleh menjalan pempolimeran melalui tindak balas penambahan. Contoh polimer penambahan ialah
    1. politena
    2. poliviniI klorida
    3. perspeks.
  3. Rajah di bawah menunjukkan pempolimeran penambahan etena. Monomer etena dicantumkan seperti berikut:
Pempolimeran Kondensasi
  1. Pempolimeran kondensasi berlaku apabila monomer-monomer berlainan jenis bercantum untuk membentuk molekul-molekul polimer dan melibatkan penyingkiran molekul-molekul kecil seperti air, ammonia, hidrogen klorida, dan sebagainya semasa pempolimeran berlaku.
  2. Monomer-monomer dalam pempolimeran kondensasi mempunyai lebih daripada satu kumpulan berfungsi.
  3. Pempolimeran bagi membentuk nilon adalah seperti berikut.:
  4. Dalam pempolimeran kondensasi di atas, satu molekul air tersingkir semasa cantuman monomer berlaku.

Pencemaran Alam Sekitar akibat Pembuangan Bahan Polimer

  1. Polimer-polimer sintetik seperti plastik ialah bahan yang tidak dapat terbiodegradasi oleh bakteria. Dengan itu, plastik yang tidak dipakai atau dibuang akan kekal keadaannya sebagai plastik selama beberapa ratus tahun. Ini menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar sekiranya bahan buangan polimer sintetik ini tidak diuruskan.
  2. Pembakaran polimer dalam bekalan oksigen yang sedikit menghasilkan karbon monoksida yang beracun dan mencemarkan udara.
  3. Polimer sintetik seperti PVC mengandungi unsur klorin. Apabila terbakar, gas hidrogen klorida yang berasid dibebaskan. Gas ini boleh mengakibatkan hujan asid.
  4. Sesetengah polimer membebaskan wap toksik seperti hidrogen sianida dan nitrogen dioksida apabila dibakar. 

Leave a Comment