Elektrolit dan Bukan Elektrolit
Elektrolit
- Elektrolit merupakan bahan kimia yang boleh mengkonduksikan elektrik dalam keadaan lebur atau dalam larutan akueus.
- Semua sebatian ion merupakan elektrolit apabila lebur atau larut dalam air. Juga, asid dan alkali merupakan elektrolit apabila larut dalam air.
- Contoh-contoh elektrolit lebur: plumbum (II) bromida lebur, kalium iodida lebur, dan aluminium oksida lebur.
- Contoh-contoh elektrolit larutan akueus: larutan asid sulfurik, larutan akueus kalium iodida, dan larutan akueus natrium klorida.
Bukan Elektrolit
- Bukan elektrolit ialah bahan kimia yang tidak boleh mengkonduksikan elektrik walaupun dalam keadaan lebur dan larutan akueus.
- Contoh-contoh bukan elektolit ialah naftalena lebur, larutan akueus glukosa, dan metil benzena.
- Kebanyakan sebatian kovalen merupakan bukan elektrolit. Bagaimanapun, sesetengah sebatian kovalen seperti hidrogen klorida dan ammonia merupakan elektrolit kerana mereka boleh menghasilkan ion apabila larut di dalam air.
- Larutan bukan akueus merupakan bukan elektrolit kerana pengionan tidak berlaku. Sebagai contoh, larutan ammonia dalam metilbenzena bukan elektrolit tetapi larutan ammonia dalam air ialah elektrolit.
Zarah-zarah Dalam Elektrolit dan Bukan Elektrolit
- Rajah di bawah menunjukkan susunan ion dalam pepejal natrium klorida dan juga perubahannya apabila lebur atau terlarut di dalam air.
- Dalam keadaan pepejal, ion-ion tersusun dengan teratur dan tidak bebas bergerak manakala dalam keadaan lebur atau larutan akueus, ion-ionnya boleh bergerak bebas.
- Oleh itu, natrium oksida tidak boleh mengkonduksikan elektrik dalam keadaan pepejal tetapi boleh mengkonduksikan elektrik dalam keadaan lebur dan larutan akueus.
Soalam Lazim 1
S: Terangkan mengapa sebatian ion tidak mengkonduksikan elektrik dalam keadaan pepejal. J:- Dalam pepejal sebatian ion, ion-ionnya diikat oleh daya-daya elektrostatik yang kuat pada kedudukan yang tetap.
- Oleh itu, tiada ion-ion yang bebas bergerak untuk membenarkan pengaliran elektrik dalam pepejal sebatian ion.
Soalam Lazim 2
S: Terangkan mengapakah leburan natrium klorida boleh mengkonduksikan elektrik tetapi leburan naftalena tidak. J:- Natrium klorida ialah sebatian ion. Natrium klorida lebur mempunyai ion-ion yang bergerak bebas bertindak sebagai pembawa cas semasa mengkunduksikan elektrik,
- Naftalena ialah sebatian kovalen. Ia tidak mempunyai sebarang ion, samada dalam keadaan pepejal atau leburan. Oleh itu, naftalena lebur tidak mengkonduksikan elektrik.