Hidrokarbon

Hidrokarbon

  1. Hidrokarbon ialah sebatian organik yang mengandungi unsur-unsur karbon dan hidrogen sahaja.
  2. Contoh-contoh hidrokarbon ialah alkana alkena dan alkuna.
  3. Hidrokarbon boleh dibahagi kepada dua kumpulan, iaitu
    1. Hidrokarbon tepu
      Hidrokarbon tepu ialah hidrokarbon di mana semua atom karbonnya diikat oleh ikatan tunggal sahaja. Contohnya, alkana.
    2. Hidrokarbon tidak tepu

      Hidrokarbon tak tepu ialah hidrokarbon yang mengandungi sekurang-kurangnya satu ikatan ganda dua atau ganda tiga di antara atom-atom karbonnya. Contohnya, alkena.
  4. Ethanol  ( C2H5OH ), asid etanoik  (CH3COOH), metil metanoat (HCOOCH3), klorometana (CH3Cl)  bukan sebatian hidrokarbon kerana mereka mengandungi unsur-unsur bukan karbon dan hidrogen (oksigen dan klorin) di dalam molekulnya.

Penting!

Tepu:  semua ikatan tunggal di antara atom-atom karbon

Tidak tepu:  sekurang-kurangnya  satu ikatan ganda dua/ ganda tiga  di antara atom-atom karbon

Sumber-sumber Hidrokarbon

  1. Sumber sumber hidrokarbon yang utama ialah
    1. Petroleum
    2. Gas asli
    3. Arang batu

Perbandingan: Hidrokarbon Tepu dan Tak Tepu

Hidrokarbon TepuHidrokarbon Tidak Tepi
PembakaranMenghasilkan sedikit jelagaMenghasilkan lebih banyak jelaga
+ Air BrominWarna perang air bromin tidak berubah.Warna perang air bromin dilunturkan.
+ Larutan Kalium Permanganat (VII)Warna ungu larutan kalium permanganat (VII) tidak berubah.Warna ungu larutan kalium permanganat (VII) dilunturkan.

Pembakaran Hidrokarbon

  1. Semua hidrokarbon terbakar di dalam oksigen menghasilkan karbon dioksida ( atau karbon monoksida) dan air.
  2. Terdapat 2 jenis pembakaran
    1. Pembakaran lengkap – Pembakaran dengan oksigen yang mencukupi menghasilkan karbon dioksida (CO2 )dan air (H2O).
    2. Pembakaran tidak lengkap – Pembakaran dengan bekalan oksigen yang terhad menghasilkan karbon (jelaga), karbon monoksida(CO), karbon dioksida(CO2) dan air(H2O).

Contoh

Pembakaran Lengkap

C2H6 + 7/2 O2 → 2CO2 + 3H2O

C3H6 + 9/2 O2 → 3CO2 + 3H2O

Pembakaran Tidak Lengkap

C2H6 + 5/2 O2 → 2CO + 3H2O

C2H6 + 3/2 O2 → 2C + 3H2O
C3H6 + 3O2 → 3CO + 3H2O

C3H6 + 3/2 O2 → 3C + 3H2O

Nota Penting:

  1. Kuantiti jelaga yang dihasilkan daripada pembakaran hidrokarbon bergantung kepada peratus karbon bagi hidrokarbon itu.
  2. Semakin tinggi peratus karbonnya, semakin banyak jelaga dihasilkan.

Leave a Comment