Kesan Ikatan Hidrogen Ke Atas Sifat Fizik Bahan

  1. Dalam perbincangan sebelum ini kita sudah belajar bahawa kebanyakan sebatian kovalen adalah tidak larut air serta mempunyai takat lebur dan takat didih yang rendah.
  2. Bagaimanapun, molekul-molekul kovalen yang membentuk ikatan hidrogen seperti ammonia, \(NH _{3}\), hidrogen fluorida, \(HF\) dan etanol, \(C _{2} H _{5} OH\) menunjukkan sifat-sifat fizikal yang berbeza daripada sebatian kovalen lain.
  3. Molekul-molekul ini menunjukkan:
    1. Takat lebur dan takat didih yang lebih tinggi
    2. Larut dalam air

Takat Lebur dan Takat Didih

  1. Bagi molekul-molekul tak berkutub, hanya daya tarikan Van der Waals wujud antara molekul-molekul kovalen yang lain.
  2. Oleh itu, hanya sedikit tenaga haba diperlukan untuk mengatasi daya tarikan Van der Waals.
  3. Ini adalah berbeza bagi molekul yang mempunyai ikatan hidrogen. Ikatan hidrogen adalah daya tarikan intermolekul yang lebih kuat berbanding dengan daya tarikan Van der Waals.
  4. Ikatan hidrogen yang kuat di antara molekul-molekul dwikutub seperti \(NH _{3}\), \(HF\) dan \(C _{2} H _{5} OH\) menyebabkan takat lebur dan takat didih bahan-bahan ini menjadi lebih tinggi berbanding molekul kovalen ringkas yang lain.
  5. Ini adalah kerana lebih banyak tenaga haba diperlukan untuk mengatasi ikatan hidrogen di antara molekul-molekul dwikutub dalam proses peleburan dan pendidihan.

Keterlarutan Dalam Air

  1. Molekul-molekul kovalen seperti ammonia, \(NH _{3}\), hidrogen klorida, \(HCl\) dan etanol, \(C _{2} H _{5} OH\) boleh larut dalam air pada keadaan bilik.
  2. Dalam molekul-molekul ini, terdapat atom hidrogen yang terikat kepada atom nitrogen, fluorin atau oksigen yang sangat elektronegatif.
  3. Atom-atom hidrogen ini boleh membentuk ikatan hidrogen dengan air dan menggantikan ikatan hidrogen di antara molekul-molekul air.
  4. Oleh itu, molekul-molekul kovalen dwikutub ini dapat larut dalam air.