Ikatan ion
- Sebatian ion ( sebatian elektrovalen ) terbentuk apabila suatu logam berpadu dengan suatu bukan logam.
- Logam berasal dari kumpulan 1, 2 dan 13 Jadual Berkala atau dari unsur-unsur peralihan, manakala bukan logam berasal dari kumpulan 15, 16 dan 17 Jadual Berkala.
- Dalam pembentukan sebatian ion, atom logam melepaskan semua elektron valensnya untuk mencapai susunan elektron gas adi yang stabil. Maka, ion positif ( kation ) terbentuk.
- Elektron-elektron yang dilepaskan itu akan berpindah ke petala terluar atom bukan logam supaya atom bukan logam itu juga mencapai susunan elektron gas adi yang stabil. Oleh itu, ion negatif ( anion ) terbentuk.
- Ion-ion positif ( kation ) dan ion-ion negatif ( anion ) yang terbentuk tertarik antara satu sama lain oleh tarikan elektrostatik yang kuat dalam kekisi hablur.
- Tarikan antara ion ini dikenal sebagai ikatan ion atau ikatan elektronvalen.
- Sebatian yang terbentuk dikenal sebagai sebatian ion atau sebatian elektrovalen.
Contoh: Ikatan Ion di Antara Unsur Kumpulan 1 dengan Kumpulan 17
- Rajah di atas menunjukkan pembentukan ikatan ion di antara natrium (logam kumpulan 1) dan klorin (bukan logam dari kumpulan 17).
- Susunan elektron atom natrium ialah 2.8.1, iaitu bukan oktet (tidak stabil).
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom natrium menderma/melepaskan satu elektron dan membentuk ion natrium yang bercas +1.
- Bagi atom klorin pula, susunan elektronnya ialah 2.8.7, juga bukan oktet dan tidak stabil.
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom korin menerima satu elektron daripada natrium dan membentuk ion klorida yang bercas -1.
- Ion natrium dan ion klorida mempunyai cas yang bertentangan. Oleh itu mereka menarik antara satu sama lain dan membentuk ikatan ion.
Contoh: Ikatan Ion di Antara Logam Kumpulan 2 dan Unsur Kumpulan 17
- Rajah di atas menunjukkan pembentukan ikatan ion di antara kalium (logam kumpulan 1) dan oksigen (bukan logam dari kumpulan 16).
- Susunan elektron atom kalium ialah 2.8.8.1, iaitu bukan oktet (tidak stabil).
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom kalium menderma/melepaskan satu elektron dan membentuk ion kalium yang bercas +1.
- Bagi atom oksigen pula, susunan elektronnya ialah 2.6, juga bukan oktet.
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom oksigen menerima dua elektron daripada kalium dan membentuk ion oksida yang bercas -2.
- Ion kalium dan ion oksida mempunyai cas yang bertentangan. Oleh itu mereka menarik antara satu sama lain dan membentuk ikatan ion.
Contoh: Ikatan Ion di Antara Logam Kumpulan 2 dan Unsur Kumpulan 16
- Rajah di atas menunjukkan pembentukan ikatan ion di antara kalsium (logam kumpulan 2) dan atom oksigen (bukan logam dari kumpulan 16).
- Susunan elektron atom kalsium ialah 2.8.8.2, iaitu bukan oktet (tidak stabil).
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom kalsium menderma/melepaskan dua elektron dan membentuk ion kalsium yang bercas +2.
- Bagi atom oksigen pula, susunan elektronnya ialah 2.6, juga bukan oktet.
- Untuk mencapai susunan elektron oktet yang stabil, atom oksigen menerima dua elektron daripada kalsium dan membentuk ion oksida yang bercas -2.
- Ion kalsium dan ion oksida mempunyai cas yang bertentangan. Oleh itu mereka menarik antara satu sama lain dan membentuk ikatan ion.